fbpx

Trump umum tarif kereta 25 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TRUMP bercakap kepada pemberita sebelum menandatangani perintah eksekutif di White House kelmarin. – AFP

WASHINGTON – Presiden Donald Trump mengumumkan tarif tinggi ke atas import kenderaan dan alat ganti sekali gus mengundang ancaman tindak balas oleh rakan perdagangan Amerika Syarikat (AS).

Wall Street merudum menjelang pengumuman Trump tengah hari semalam, manakala saham pengeluar kenderaan paling laris dunia, Toyota menjunam lebih tiga peratus.

Kerajaan Jepun menyifatkan pengumuman itu ‘amat dikesali’ dengan Perdana Menteri Shigeru Ishiba berkata, Tokyo mempertimbangkan ‘semua langkah tindak balas’.

“Apa yang kami akan lakukan adalah tarif 25 peratus ke atas semua kereta yang tidak dibina di Amerika Syarikat,” kata Trump ketika menandatangani perintah eksekutif di Oval Office.

Cukai import itu berkuat kuasa pukul 12.01 tengah malam, 3 April ini, melibatkan kereta dan trak ringan buatan asing. Tarif terhadap alat ganti utama kenderaan akan menyusul sebulan kemudian.

Sementara itu, Perdana Menteri Kanada, Mark Carney melabelkan tarif Trump sebagai serangan terhadap pekerja negara itu. Menurutnya, Kabinet dijadualkan bermesyuarat lewat semalam bagi membincangkan langkah tindak balas.

Di Brazil, Presiden Luiz Inacio Lula da Silva berkata,  negaranya tidak boleh berdiam diri  susulan pengumuman Trump.

Terdahulu, Peter Navarro selaku penasihat kanan perdagangan dan pengilangan Trump berkata, ‘penipu-penipu perdagangan asing’  menukar sektor pengilangan AS menjadi ‘pengeluar alat ganti asing murah’.

Beliau membidas Jerman dan Jepun kerana mengekalkan pengeluaran alat ganti bernilai tinggi di negara masing-masing.

Tarif diumumkan Trump itu adalah tambahan kepada cukai sedia ada terhadap produk terbabit. – AFP 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI