fbpx

Stesen minyak Terengganu cukup bahan api sambut perantau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Mufsi (kanan) meninjau gerai jualan daging lembu pada PJRM di Wisma Persekutuan, Kuala Terengganu hari ini.

KUALA TERENGGANU –  Bekalan petrol dan diesel di stesen minyak di Terengganu dijamin mencukupi untuk menampung penambahan pengguna berikutan kepulangan perantau pada musim perayaan Aidilfitri ini.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu, Mohd. Mufsi Lat berkata, semua 164 stesen minyak di negeri ini akan beroperasi seperti biasa walaupun pada 1 Syawal.

Beliau berkata, persiapan rapi telah dibuat bagi memastikan insiden banyak kenderaan terkandas akibat kehabisan bahan api di stesen-stesen minyak negeri ini pada musim perayaan Aidifitri 2022 tidak berulang.

“Kita akan memastikan stok bahan api (petrol dan diesel) mencukupi untuk perjalanan pengguna pergi dan balik ke kampung.

“Semua stesen minyak (di negeri ini) bersedia untuk menerima penambahan pengguna mengisi minyak (pada musim perayaan Aidilfitri),” katanya ketika ditemui ketika meninjau Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) di Wisma Persekutuan di sini hari ini.

Sebelum ini, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dilaporkan menjangkakan lebih 70,000 kenderaan memasuki Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT 2) sehari pada waktu puncak musim perayaan Aidilfitri ini.

Mohd. Mufsi berkata, pengusaha stesen minyak negeri ini juga dibenarkan untuk memohon tambahan kouta petrol dan diesel bagi memenuhi keperluan pengguna pada musim perayaan ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, KPDN Terengganu telah mengambil inisiatif menganjurkan 37 PJRM  di seluruh negeri ini sepanjang bulan Ramadan ini.

“Ia bertujuan untuk membantu pengguna meringankan beban membuat persiapan menyambut raya yang bakal tiba,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI