SEREMBAN – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menumpaskan satu sindiket penyeludupan tembakau kunyah selepas menahan sebuah kontena di Pelabuhan Barat, Klang, Selangor, awal bulan ini.
Pengarah Kastam Negeri Sembilan, Muhammad Ilyas Queek Abdullah berkata, secara keseluruhannya, jumlah nilai sitaan termasuk duti atau cukai dianggarkan RM 997,632.19 yang mana nilaian tembakau kunyah pula adalah sebanyak RM 581,786.42.
Katanya, pada pukul 11.45 pagi, 1 Mac lalu, anggota Unit Operasi Kastam Bahagian Penguatkuasaan JKDM Negeri Sembilan menyita kontena di Pelabuhan Barat selepas disyaki membuat ikrar palsu dalam dokumen.
“Hasil pemeriksaan pasukan operasi menjumpai 72 kotak mengandungi tembakau seberat 174.89 kilogram (kg) dan 318 kotak berisi 2,862 kg pan masala tembakau kunyah disyaki barang larangan import di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Muhammad Ilyas menegaskan tembakau kunyah adalah barang larangan import yang mana pengimportannya tertakluk kepada permit import di bawah Butiran 66 Bahagian|Jadual Ketiga Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.
“Susulan kes ini, seorang lelaki tempatan berusia dalam lingkungan 40-an ditahan untuk siasatan,” katanya.-KOSMO! ONLINE