AMPANG – Seorang remaja lelaki orang kurang upaya (OKU) yang tular kerana disyaki mencabul kanak-kanak perempuan di sebuah masjid di Hulu Selangor menukar pengakuan kepada tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Tertuduh berusia 19 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan semula di hadapan Hakim Norshila Kamarudin.
Hari ini mahkamah sepatutnya mendengar laporan sosial tertuduh daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebelum hukuman dijatuhkan selepas lelaki itu mengaku bersalah pada prosiding sebelum ini.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa berusia 10 tahun bagi maksud seksual.
Kesalahan dilakukan di sebuah masjid di Batangkali, Hulu Selangor pukul 6.20 pagi pada 21 Februari lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.
Jurubahasa: Faham pertuduhan? Mengaku salah atau tidak?
Tertuduh: Tidak
Berikutan pengakuan tidak bersalah itu, Timbalan Pendakwa Nadiah Malek Fauzie memohon mahkamah menetapkan satu tarikh lain bagi serahan dokumen.
Peguam Lingswaran Singh yang mewakili tertuduh memaklumkan akan menghantar representasi terhadap pertuduhan itu. Mahkamah menetapkan 29 April ini untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.
Sementara itu, Lingswaran ketika ditemui berkata, representasi yang akan dihantar adalah bagi menggugurkan pertuduhan tersebut.
Pada 27 Februari lalu, tertuduh mengaku bersalah dan pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM15,000 sementara menunggu sebutan semula kes bagi laporan sosial.
Ketika ditanya Hakim Norshila adakah ada ahli keluarga tertuduh hadir ke mahkamah pada hari tersebut, remaja itu menjawab tiada.
Sebelum ini Kosmo! melaporkan seorang lelaki ditahan selepas disyaki mencabul kanak-kanak perempuan ketika solat subuh di sebuah masjid pada 21 Februari lalu.
Kejadian berlaku ketika mangsa sedang sujud di saf belakang. Perbuatan lelaki itu dirakam televisyen litar tertutup (CCTV) masjid tersebut sebelum tersebar di media sosial.
Berdasarkan rakaman CCTV, suspek yang berkopiah putih menyelinap masuk ke ruang solat wanita sebelum memeluk mangsa dan membawanya keluar. – KOSMO! ONLINE.