fbpx

POP MART catat rekod baharu, pendapatan cecah RM7.93 bilion tahun lalu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pelancaran koleksi baharu daripada POP MART sentiasa mendapat perhatian peminatnya di seluruh dunia.

KUALA LUMPUR – POP MART International Group (POP MART) mencatatkan rekod pendapatan baharu bagi tahun kewangan 2024, mencecah 13.04 bilion yuan atau bersamaan kira-kira RM7.93 bilion.

Keuntungan bersih terlaras pula melonjak 185.9 peratus tahun ke tahun kepada 3.4 bilion yuan (RM2.21 bilion).

POP MART menerusi kenyataan yang dikeluarkan di sini berkata, pasaran China menyumbang 7.97 bilion yuan (RM4.75 bilion) kepada hasil dengan pertumbuhan 52.3 peratus tahun ke tahun, manakala pasaran luar China termasuk Hong Kong, Macau dan Taiwan merekodkan peningkatan luar biasa sebanyak 375.2 peratus kepada 5.07 bilion yuan (RM3.09 bilion).

Katanya, prestasi tersebut jauh melebihi jangkaan untuk mencipta rekod baharu bagi syarikat.

“Sistem operasi hak intelek (IP) POP MART mencapai kematangan dengan empat IP utama, iaitu The Monsters, Molly, SkullPanda dan CryBaby menjana lebih 1 bilion yuan (RM0.61 bilion) buat kali pertama.

“Selain itu, 13 IP lain termasuk Dimoo World, Hirono, Zsiga dan Hacipupu turut menyumbang lebih 3 bilion yuan (RM1.83 bilion) kepada pendapatan syarikat,” katanya.

Syarikat itu berkata, POP MART turut menambah 38 kedai baharu di China, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 401 kedai serta terdapat 110 Roboshop baharu ditambah, menjadikan jumlahnya 2,300.

Ia berkata, pendapatan daripada kedai fizikal meningkat 43.9 peratus kepada 3.83 bilion yuan (RM2.34 bilion), manakala Rohoshop menyumbang 700 juta yuan (RM427 juta), naik 26.4 peratus yang menunjukkan pertumbuhan organik kukuh tanpa perlu membuka terlalu banyak kedai baharu.

POP MART kini dikenali sebagai peneraju industri koleksi mainan.

Segmen dalam talian turut mengalami pertumbuhan pesat.

Selain itu, pendapatan daripada mesin layan diri kotak misteri meningkat 52.7 peratus kepada 1.11 bilion yuan (RM0.677 bilion), manakala operasi e-dagang terus berkembang dengan kedai rasmi di Tmall merekodkan peningkatan pendapatan 95 peratus kepada 630 juta yuan (RM384.35 juta).

Syarikat turut merombak strategi penstriman langsung dengan membuka beberapa studio khas, yang menjana pendapatan 600 juta yuan (RM366.07 juta), naik 112.2 peratus tahun ke tahun.

Sehingga 31 Disember 2024, jumlah ahli berdaftar POP MART di China mencecah 46.08 juta, dengan pertambahan sebanyak 11.73 juta ahli baharu sepanjang tahun.

Sementara itu, pasaran luar China mencatat pertumbuhan 375.2 peratus kepada 5.07 bilion yuan (RM3.09 bilion), menyumbang 38.9 peratus daripada jumlah pendapatan keseluruhan.

“Bilangan kedai fizikal meningkat kepada 130 (termasuk usaha sama), sementara Roboshop berkembang kepada 192 unit.

“Pada 2024, POP MART membuka kedai pertamanya di Vietnam, Indonesia, Filipina, Itali dan Sepanyol, selain memperkukuh kehadiran di lokasi ikonik seperti Louvre di Paris, Oxford Street di London dan Sun World Ba Na Hills di Vietnam,” katanya.

Hak intelek POP MART yang popular termasuk The Monsters, Molly, SkullPanda dan CryBaby.

Sejak memulakan pelan globalisasi pada 2018, jenama ini sudah berkembang ke hampir 100 negara dan wilayah.

Plush toys turut mencatat pertumbuhan luar biasa 1,289 peratus kepada 2.83 bilion yuan (RM1.73 bilion), kini merangkumi 21.7 peratus daripada pendapatan keseluruhan.

Selain itu, jenama Mega Collection telah memasuki fasa matang dengan pendapatan meningkat 146.1 peratus kepada 1.68 bilion yuan (RM1.03 bilion), manakala produk derivatif dan lain-lain melonjak kepada 1.59 bilion yuan (RM0.97 bilion), peningkatan sebanyak 156.2 peratus.

POP MART terus mengembangkan strategi IP dengan memanfaatkan kategori baharu seperti plush toys dan blok binaan, memperluaskan potensi pengewangan IP mereka.

Dengan pertumbuhan pesat dalam semua segmen, POP MART terus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju dalam industri mainan koleksi dan budaya pop global. – KOSMO! ONLINE

 

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI