GUA MUSANG – Bilangan kenderaan yang masuk ke Kelantan melalui Gua Musang bertambah petang ini apabila perantau untuk bercuti awal bagi membuat persiapan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Tinjauan Kosmo! mendapati, keadaan trafik masih terkawal meskipun jumlah kenderaan masuk ke Gua Musang di sini bertambah setiap jam.
Seorang pekerja swasta, Muhamad Azim Muhamad Shaari, 33, berkata, dia bertolak awal dari Kuala Lumpur untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas.
Katanya, dia bersama keluarga akan pulang ke Kota Bharu untuk menyambut Aidilfitri di kampung halaman isterinya.
“Perjalanan kami lancar meskipun terdapat banyak kenderaan terutamanya di kawasan Raub, Pahang.
“Saya bertolak dari Kuala Lumpur kira-kira pukul 7 pagi dan tiba di Gua Musang pada pukul 12 tengah hari tadi. Saya jangkakan lebih ramai yang akan bergerak pulang ke kampung halaman pada petang ini selepas waktu bekerja,” katanya.
Seorang lagi perantau, Shahida Shakeri, 40, berkata, dia mengambil cuti awal untuk pulang ke Kelantan kerana tidak mahu berdepan kesesakan lalu lintas.
“Saya mengambil masa lebih empat jam dari Kuala Lumpur untuk sampai ke Gua Musang. Kami sekeluarga ingin mengelak kesesakan lalu lintas dan saya menjangkakan esok akan sesak lebih teruk,” katanya. – KOSMO! ONLINE