KUALA TERENGGANU – Gara-gara menjual makanan kepada orang Islam pada bulan Ramadan pada minggu lalu, seorang wanita dipenjara lima hari dan denda RM2,000 oleh Mahkamah Rendah Syariah Setiu dekat sini pada Isnin lalu.
Ketua Pegawai Penguatkuasa Syariah Terengganu, Aizi Saidi Abd. Aziz berkata, Hakim Syarie, Mat Ropi Busu memerintahkan hukuman demikian selepas tertuduh berusia 38 tahun membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan.
“Wanita tersebut didakwa mengikut Seksyen 19(a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Terengganu 2001.
“Dia membayar denda dikenakan dan kini sedang menjalani hukuman penjara di Pusat Tahanan Wanita Pengkalan Chepa, Kelantan sehingga 28 Mac ini (hari ini),” katanya di sini hari ini.
Aizi Saidi berkata, pendakwaan kes tersebut dikendalikan Pendakwa Syarie, Khanurulhajja Mustaffa.
Beliau berkata, sebelum itu, wanita tersebut ditahan dalam serbuan pasukan penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT) dalam Ops Supik Hitam di sebuah rumah di Setiu pada pukul 12.15 tengah hari, 18 Mac lalu.
“Dia ditahan selepas menjual makanan dan minuman kepada individu dipercayai tidak berpuasa.
“Perbuatannya menjual dan membekal makanan kepada orang Islam pada waktu siang amat tidak menghormati bulan Ramadan,” katanya.
Kosmo! 26 Februari lalu melaporkan kerajaan negeri Terengganu melancarkan Ops Supik Hitam (Plastik Hitam) bagi membanteras aktiviti ponteng puasa dalam kalangan orang Islam pada bulan Ramadan. – KOSMO! ONLINE