SEBERANG PERAI – Pemandu lori kontena yang berani memandu dalam keadaan salah satu tayarnya pecah ditahan dalam Ops Khas Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2025 di Plaza Tol Juru arah utara di sini, malam tadi.
Bukan itu sahaja, ujian saringan awal yang dilakukan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) turut mendapati lelaki warga tempatan berusia 45 tahun itu positif dadah.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang, Zulkifly Ismail berkata, pemeriksaan awal mendapati bahagian belakang tayar kiri lori terbabit pecah namun pemandu tetap bertindak meneruskan perjalanan.
Katanya, lelaki terbabit dalam perjalanan dari Taiping, Perak ke Perai dan semasa pemeriksaan dilakukan, pemandu kelihatan dalam keadaan khayal sebelum pihak AADK mengarahkannya untuk melakukan ujian air kencing.
“AADK menahan lelaki terbabit untuk tindakan lanjut manakala kita akan jalankan siasatan untuk mengenal pasti sama ada lori itu menggunakan tayar celup yang mempunyai pengiktirafan oleh SIRIM atau sebaliknya.
“Ia susulan tanda (stiker) SIRIM terbabit agak meragukan. Tayar pecah boleh menyebabkan berlakunya kegagalan brek sekali gus mengakibatkan kemalangan,” katanya.KOSMO! ONLINE