GEORGE TOWN – Pemandu sebuah kereta Perodua Myvi yang tular memandu dalam keadaan melawan arus di Jalan Masjid Negeri di sini mendakwa yang dia tidak mahir dengan arah laluan di Pulau Pinang berikutan baru sahaja berpindah ke negeri ini.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, pihaknya telah terkesan dengan satu video tular melalui media sosial yang memaparkan kejadian sebuah kereta dipandu secara melawan arus semalam.
Menurutnya, hasil siasatan mendapati kejadian dirakam berlaku pada pukul 10.50 malam, 23 Mac lalu.
“Kereta jenis Perodua Myvi tersebut didaftarkan di bawah nama seorang wanita warga tempatan berusia 32 tahun yang berasal dari Nilai, Negeri Sembilan.
“Pemandu kereta semasa kejadian itu merupakan suami kepada pemilik kereta tersebut. Lelaki itu mendakwa yang dia baru bekerja di Pulau Pinang dan tidak mahir arah jalan di negeri ini lalu termasuk ke laluan melawan arus di Jalan Masjid Negeri secara tidak sengaja,” katanya di sini.
Beliau memberitahu, tindakan saman trafik telah dikeluarkan terhadap pemandu kereta itu di bawah Peraturan 6(1) Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan 1959.
“Sehubungan itu, semua pengguna jalan raya dinasihatkan agar merancang perjalanan atau menggunakan aplikasi navigasi atas talian semasa memandu bagi mengelak daripada melakukan kesilapan sehingga boleh mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya lain,” tambahnya. -KOSMO! ONLINE