SINGAPURA – Seorang nenek membeli lebih 10 jongkong emas 999 edisi terhad Hari Raya untuk cucunya sempena Hari Raya Aidilfitri, lapor portal berita berita.media.corp hari ini.
Norlina Mohamad membeli jongkong keluaran sebuah kedai barangan emas itu dengan berat 0.3 gram setiap satu yang turut diberikan kepada cucu saudaranya.
Ibu kepada tiga orang anak itu menyedari bahawa duit raya semakin kurang dihargai oleh kanak-kanak yang menuju usia dewasa.
“Saya memang suka memberikan sesuatu yang lain daripada biasa.
“(Semasa) Hari Raya itu, kalau beri duit saja, macam sudah biasa rasanya tetapi kalau jongkong emas ini, ia akan disimpan buat kenangan,” ujarnya.
Jongkong emas 999 edisi terhad Hari Raya seberat 0.3 gram ditawarkan pada harga SGD$199 (RM658), manakala yang seberat 0.1 gram pula dijual pada harga SGD$99 (RM328) yang dikeluarkan oleh kedai emas itu. – AGENSI