VALENCIA – Grand Prix Valencia kekal berada dalam kalendar perlumbaan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) sehingga 2031 selepas menandatangi kontrak bersama Dorna.
Litar Ricardo Tormo bukanlah venue asing dalam perlumbaan MotoGP memandangkan trek perlumbaan berkenaan telah beberapa kali dinobatkan sebagai Grand Prix Terbaik.
Sejak dibuka pada 1999, dua bintang Sepanyol, Daniel Pedrosa dan Jorge Lorenzo mencatat sejarah sebagai pelumba paling berjaya di Valencia dengan empat kemenangan diikuti legenda MotoGP, Valentino Rossi menerusi dua kejayaan.
Presiden Generalitat Valencia, Carlos Mazon menyambut baik perjanjian baharu tersebut dan menyifatkan Valencia sebagai destinasi utama sukan permotoran dunia.
“Terima kasih atas komitmen kepada Valencia. Ini adalah pertaruhan yang selamat. Tidak ada Grand Prix lain yang tiketnya habis terjual secepat Valencia.
“Di sini, peminatnya begitu ramai dan penuh bersemangat terhadap sukan ini. MotoGP bukan sekadar perlumbaan, ia memberi kesan besar kepada pemulihan ekonomi kami.
“Dengan peminat yang luar biasa ini, kami mempunyai kelebihan untuk terus menjadi tuan rumah acara ini,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Dorna Sports, Carmelo Ezpeleta turut menyatakan kegembiraannya dengan kesinambungan perlumbaan di Valencia.
“Kami sangat gembira dapat meneruskan perlumbaan di Valencia. Litar unik dengan pandangan luas untuk penonton dan peminat di sini mencipta suasana yang luar biasa setiap tahun.
“Setelah apa yang berlaku pada 2024, kami berharap kepulangan kami untuk lima Grand Prix lagi menunjukkan komitmen jangka panjang kami di sini,” katanya.
Grand Prix Valencia 2025 dijadualkan menjadi perlumbaan penutup musim pada November depan dengan menjanjikan aksi mendebarkan terutama perebutan gelaran dunia. – AGENSI