SHAH ALAM – Aktor Datuk Adi Putra menasihatkan pelakon generasi baharu tidak mengejar populariti semata-mata selain perlu menjaga kualiti dalam hasil kerja mereka.
Menurut Adi, 44, perkara paling penting yang perlu dititkberatkan para pelakon adalah ‘rasa’ yang ingin disampaikan kepada penonton daripada setiap karya lakonan mereka.
“Sebagai pelakon, kita perlu membawa watak dan semua itu harus disampaikan dengan baik pada mata serta hati penonton.
“Sebab itu penting untuk sampaikan sesuatu yang berkualiti. Kalau tak capai kualiti itu, kita bukan seorang pelakon yang sebenar.
“Apa yang saya belajar dan dipesan oleh guru lakonan ialah kalau nak jadi pelakon, biarlah jadi seorang yang berkualiti supaya dapat kekal, bukan untuk mengejar glamor semata-mata,” katanya kepada Kosmo! Online pada Meet & Greet Drama Sangat TV3 di sini, baru-baru ini.
Bintang drama Sekam Di Dada itu juga menegaskan rupa paras yang jelita atau kacak bukan pengukur bakat seseorang pelakon.
Namun, dia juga tidak mempertikaikan bakat dimiliki ramai pelakon baharu hari ini, namun harus mengikut cara yang betul untuk kekal relevan dalam industri seni.
“Tidak perlu pun ada paras rupa yang cantik dan kacak, sebenarnya lakonan hebat yang akan mampu dan harus mencantikkan seseorang pelakon.
“Namun bukan bermakna saya label pelakon baharu tak pandai berlakon, mereka mampu cuma perlu sama-sama usaha dan boleh menjadi seorang hebat satu hari nanti,” ujarnya.
Terdahulu, nama Adi kembali menjadi bahan bualan ramai apabila lakonannya bersama Amyra Rosli dalam drama Sekam Di Dada meraih pujian ramai.
Meski dikecam teruk kerana karakter suami panas baran, Adi tetap dipuji kerana berjaya membuatkan penonton berasa benci terhadap watak Nasir.
Kehebatan lakonannya itu juga membuat netizen memuji kerana tanpa gimik atau mengejar viral, dia mampu membuatkan watak dan drama tersebut menjadi sebutan ramai. – KOSMO! ONLINE