KUALA LUMPUR – Kerajaan mencadangkan agar Masjid Madani yang dibangunkan di atas tanah milik Jakel di Lot 328, Jalan Munshi Abdullah di sini menjadi tempat untuk masyarakat bukan Islam mendekati agama Islam.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, cadangan itu diutarakan oleh timbalannya, Datuk Seri Fadillah Yusof.
“Beliau (Fadillah) cadangkan juga supaya ada ruang, tempat masyarakat berkumpul di masjid, ini kerana masjid (Masjid Madani) adalah masjid kota. Ia supaya masyarakat bukan Islam tidak rasa kekok untuk datang.
“Mereka boleh kenal Islam yang sederhana, Islam yang penuh dengan rahmah dan hikmah. Ini harus kita lakukan,” katanya ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Pembangunan Masjid Madani, hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan, Masjid Madani bakal menjadi mercu tanda pembangunan syiar Islam di Kuala Lumpur dan dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh dua tahun.
Majlis Pecah Tanah Pembangunan Masjid Madani yang disempurnakan oleh Perdana Menteri hari ini bakal menyaksikan bangunan empat tingkat itu mampu menampung sehingga 2,900 jemaah pada satu-satu masa.
Pengarah Urusan Kumpulan Jakel, Datuk Seri Mohamed Faroz Mohamed Jakel berkata, dengan berkonsepkan inti pati Malaysia, ia dapat menempatkan kira-kira 592 jemaah di ruang utama solat yang terletak tingkat satu.