PETALING JAYA – Anak-anak perantau dilihat sudah beransur pulang ke kampung halaman masing-masing sempena Hari Raya Aidilfitri yang akan disambut tidak lama lagi.
Tinjauan Kosmo! di media sosial mendapati, ada anak perantau yang mula bertolak dari rumah seawal pukul 5 pagi tadi untuk mengelak daripada terperangkap dalam kesesakan trafik.
Seorang pengguna yang membuat penstriman langsung di TikTok, berkata dia bertolak dari rumahnya yang terletak di Semenyih pada pukul 5 pagi untuk pulang ke kampungnya di Pasir Mas, Kelantan.
Katanya, meskipun trafik kelihatan lancar di Lebuh Raya Kuala Lumpur – Karak (KLK), namun adanya pertambahan kenderaan di sesetengah kawasan.
“Ni sesak di lampu isyarat Raub nak menuju ke Pasir Mas. Kereta dah mula banyak dah. Tapi awal saya gerak tadi jalan masih ‘clear’ lagi,” katanya.
Sementara itu, tinjauan Kosmo! di televisyen litar tertutup Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM) mendapati trafik masih lancar di Plaza Tol Gombak menuju ke arah Pantai Timur.
Trafik juga kelihatan lancar di beberapa lokasi lain seperti Genting Sempah, Bentong serta Temerloh.
Terdahulu Plus Malaysia Berhad (Plus) menjangkakan peningkatan trafik sehingga 2.2 juta kenderaan sehari menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Lonjakan itu dijangka berlaku bermula pada 27 hingga 29 Mac serta 4 hingga 6 April hadapan dengan jumlah peningkatan mencecah 20 peratus berbanding hari biasa.- KOSMO! ONLINE