PETALING JAYA – Kementerian Kerja Raya (KKR) melalui Jabatan Pengairan dan Saliran menyokong permohonan peruntukan tambahan bagi membersihkan dan mendalamkan sungai serta parit di daerah Pontian, Johor.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, permohonan tersebut dikemukan ke Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) termasuk bagi peruntukan penggalian muara-muara sungai dalam daerah Pontian.
“Kementerian turut menyokong permohonan peruntukan pemuliharaan Sungai Benut sepanjang 35.4 kilometer.
“Selain itu, bagi menaik taraf sistem saliran di kawasan Projek Johor Barat,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Terdahulu, Ahmad mengadakan lawatan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Jubli Intan, Pontian.
“Bantuan telah diserah kepada mangsa banjir Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulai Sebatang.
“Jumlah keluarga terlibat untuk Daerah Pontian ( dua Parlimen, empat DUN) ialah 701 orang di 23 PPS iaitu 12 PPS Parlimen Pontian dan 11 PPS Parlimen Tanjung Piai,” katanya.
Terdahulu, Kerajaan negeri Johor mula menyalurkan Bantuan Khas Kewangan Bencana Banjir Monsun Timur Laut (MTL) Gelombang Kelima berjumlah keseluruhan RM11.2 juta kepada 3,749 Ketua Isi Rumah (KIR) berdaftar di PPS secara serentak membabitkan enam daerah yang terjejas, hari ini.- KOSMO! ONLINE