PETALING JAYA – Ibu bapa kepada Prebet Muhammad Muqriz Aseri, belum bersedia untuk berjumpa mahupun berhubung dengan keluarga suspek yang dipercayai menyebabkan kematian anaknya.
Nor Azlina Zambri, 45, berkata, dia dan suami, Aseri Ismail, 49, reda namun berharap agar pihak pendakwaan dapat menjalankan siasatan berkaitan punca kematian anak kedua dari empat beradik itu.
“Keluarga kedua-dua suspek ada cuba berhubung dengan saya, tak tahulah nak minta maaf ke atau apa, tapi saya belum bersedia.
“Kalau mereka (ibu bapa suspek) minta maaf sekali pun, anak saya takkan kembali. Jadi biarlah kami dapatkan keadilan sewajarnya untuk kematian anak kami,” katanya ketika ditemui Kosmo! di kediaman mereka di Taman Puchong Perdana, hari ini.
Muhammad Muqriz, 21, merupakan anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) yang meninggal dunia dipercayai mengalami kecederaan dalaman selepas didera anggota senior di kem di Miri, Isnin lalu.
TDM dalam satu kenyataan memaklumkan siasatan awal yang dilaksanakan oleh pasukan berkenaan mendapati wujud unsur ‘manhandling’ yang dipercayai penyebab kematian Allahyarham.
Mengimbas kembali kenangan bersama Allahyarham, Nor Azlina berkata, seisi keluarga sangat terkejut ketika Muhammad Muqriz atau mesra disapa Angah pulang bercuti ke rumah pada 13 Mac lalu.
Malah katanya, mereka sekeluarga sempat berbuka puasa, mengambil gambar raya bersama-sama serta turut meraikan ulang tahun kelahiran bapanya yang ke-49 lebih awal dari tarikh sepatutnya.
“Setiap tahun memang kami akan pakai baju raya sedondon. Tahun ini, Arwah minta abang sulungnya belikan baju Melayu. Bila saya tanya, nak pos ke sana (Miri) ke, dia kata ‘tak apa, Umi simpan dulu. Nanti Angah balik’.
“Rupanya dia balik buat kejutan. Dah alang-alang, saya terdetik, ambil lah gambar satu keluarga bersama sebab tak tahu bila lagi boleh berkumpul. Arwah pun susah nak dapat cuti raya.
“Sabtu lepas kami hantar dia ke lapangan terbang untuk pulang semula ke Miri dalam keadaan sihat sejahtera. Dua hari lepas tu, saya dapat berita dia sudah tiada. Saya tak sangka itu adalah pertemuan terakhir kami,” katanya.
Menurutnya lagi, Allahyarham seorang anak yang manja, periang dan amat rapat dengannya selain sering membuat panggilan video hampir setiap hari bagi bertanya khabar.
Ujar pembantu koordinator di sebuah hospital swasta itu, Allahyarham juga tidak pernah meluahkan rasa penat mahupun kesusahan sepanjang menjalani latihan di Batalion Ke-20 Rejimen Askar Melayu Diraja (20 RAMD), Kem Sri Miri.
“Saya ada tanya juga, Angah macam mana, letih ke penat ke. Dia tak pernah beritahu dia susah. Dia kata biasalah Umi, nak jadi tentera memang penat.
“Pernah tanya dia, ada kena buli ke. Dia kata tak ada. Malah sehari sebelum kejadian, saya pun ada berhubung dengan dia. Tapi tak ada apa-apa dia beritahu saya,” katanya.
Sementara itu, Nor Azlina juga berharap keadilan dapat ditegakkan sekali gus dapat diberikan penjelasan mengapa anaknya diperlakukan sedemikian rupa sehingga hilang nyawa.
Beliau juga berharap agar perkara sebegini tidak terjadi kepada anak orang lain sekali gus akan mencemarkan institusi kententeraan yang sepatutnya disanjung.
“Saya izinkan dia masuk tentera sebab berkhidmat untuk negara, saya bangga sangat dia masuk tentera, tapi saya tak sangka anak saya diperlakukan macam ni.
“Anak saya manusia, ada perasaan akan ada rasa sakit kalau orang buat apa-apa. Ini sampai boleh kehilangan nyawa, tu saya tak boleh terima.
“Sebab saya ralat saya baru hantar dia dua hari sebelum kejadian dalam keadaan sihat. Saya tak dapat jumpa dia 10 bulan, dapat jumpa 10 hari je kemudian balik dia sudah tiada. Memang luluh hati saya,” katanya. – KOSMO! ONLINE