JAKARTA – Presiden Persatuan Bola Sepak Indonesia (PSSI), Erick Thohir menyeru skuad kebangsaan Indonesia kekal konsisten jika berhasrat untuk bersaing di pentas Piala Dunia 2026 menjadi kenyataan.
Sebagai rekod, Sang Garuda masih menduduki tangga keempat saingan kelayakan Kumpulan C dengan sembilan mata di belakang Jepun (20 mata), Australia (13 mata) dan Arab Saudi (10 mata).
Menurut Erick, kejayaan menewaskan Bahrain 1-0 pada aksi kelayakan di Stadium Gelora Bung Karno baru-baru ini berjaya menaikkan motivasi pasukan untuk tampil lebih cemerlang menghadapi baki dua perlawanan terakhir pada Jun depan.
“Pemain masih mampu menunjukkan semangat luar biasa kerana pada November lepas, kami tewas kepada Jepun tetapi berjaya bangkit mengalahkan Arab Saudi. Kalau kalah kepada Arab Saudi, mungkin impian kami sudah terkubur.
“Situasi sama aksi bulan ini kerana pemain masih lagi mampu bangkit menewaskan Bahrain walaupun kalah kepada Australia minggu lalu. Fokus pasukan adalah kekal konsisten selepas ini,” katanya.
Sang Garuda yang dikendalikan oleh Patrick Kluivert bakal berdepan laluan berliku apabila menentang China dan Jepun sambil perlu mengharapkan Australia gagal mengutip mata penuh dalam baki dua perlawanan kelayakan pada Jun nanti. – AGENSI