DEBRECEN – Norway mengekalkan aksi sempurna dalam aksi Kumpulan I kelayakan Piala Dunia 2026 selepas membelasah Israel 4-2 pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Nagyerdei awal pagi semalam.
Skuad kendalain Stale Solbakken itu memastikan tiga mata menjadi milik mereka menerusi empat gol yang dijaringkan David Moller Wolfe, Alexander Sorloth, Kristoffer Ajer dan Erling Haaland.
Apa yang lebih menarik adalah pemain tengah Arsenal, Martin Odegaard menampilkan aksi cukup memukau apabila menjadi tunjang Norway selepas melakukan tiga umpanan gol pada perlawanan tersebut.
“Kami menaruh sepenuh kepercayaan terhadap kemampuan diri sendiri dan tahu apa yang kami perlu lakukan. Saya fikir kami memiliki corak permainan yang cukup menarik dan ia disempurnakan dengan baik.
“Saya fikir kami sudah menunjukkan banyak peningkatan dari segi serangan kerana dapat mencipta lebih banyak peluang dan menjaringkan gol. Saya juga berpuas hati dengan aksi sendiri,” katanya.
Selepas mengharungi dua aksi kelayakan setakat ini, Norway berjaya mengukuhkan cengkaman selaku pendahulu Kumpulan I selepas mencatat kemenangan bersih dalam dua perlawanan, termasuk membelasah Moldova 5-0 pada Ahad lalu.
Sementara itu, Sorloth menggesa rakan sepasukannya supaya terus percaya dengan kemampuan sendiri meskipun perlu berdepan gergasi Eropah, Itali yang turut berada dalam saingan Kumpulan I. – AGENSI