KOTA BHARU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan menetapkan harga siling santan di negeri ini pada harga RM17.50 sekilogram sepanjang Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Aidilfitri 2025.
Pengarahnya, Azman Ismail berkata, peniaga diingatkan supaya tidak mengambil kesempatan menjual bahan mentah itu melebihi harga siling yang telah ditetapkan.
“Mengikut maklumat Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), pokok kelapa di Kelantan diserang sejenis penyakit yang dikenali sebagai kumbang merah. Situasi tersebut menyebabkan pengeluaran santan di Kelantan berkurangan sehingga kita terpaksa ambil bekalan barangan keperluan asas itu dari luar.
“Justeru, berlaku sedikit peningkatan harga santan ketika ini,” katanya pada sidang akhbar selepas Program Walkabout SHMMP di sebuah pasar raya di sini hari ini.- KOSMO! ONLINE