BANGKOK – Kerajaan Thailand melancarkan inisiatif baharu untuk orang ramai melaporkan penjual dan pengguna rokok elektronik (e-rokok) termasuk vape melalui aplikasi mudah alih Thang Rath, lapor portal berita Thaiger semalam.
Skim itu menawarkan ganjaran lumayan dengan pemberi maklumat akan mendapat 60 peratus jumlah denda yang dikenakan terhadap pesalah.
Sebagai contoh, mereka yang ditangkap membawa atau menghisap e-rokok di khalayak ramai berdepan denda 5,000 baht (RM652).
Ini bermakna pemberi maklumat mendapat ganjaran sehingga 3,000 baht (RM391).
Pegawai-pegawai kerajaan juga akan menerima insentif kerana peranan mereka dalam tindakan keras itu.
Langkah itu sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan untuk mengurangkan penggunaan e-rokok, khususnya dalam kalangan remaja di bawah umur.
“Kami berhasrat memerangi peningkatan populariti e-rokok dalam kalangan belia,” kata seorang jurucakap Pejabat Perdana Menteri Thailand. – AGENSI