LONDON – Prinsipal Pasukan Red Bull, Christian Horner percaya skuad kendaliannya itu masih mempunyai ruang untuk bangkit dalam perlumbaan Formula Satu (F1) musim ini meskipun memulakan kempen penuh hambar di Australia dan China.
Selepas dua pusingan, juara bertahan, Max Verstappen hanya mampu meraih tempat kedua dan keempat, manakala rakan sepasukannya, Liam Lawson masih gagal mengutip sebarang mata.
Prestasi kurang menyengat tersebut menyebabkan Red Bull jauh ketinggalan di belakang McLaren yang kini mendominasi kedudukan dengan jentera MCL39 mereka.
Namun, Horner percaya Red Bull masih mampu bangkit, mengambil inspirasi daripada lonjakan prestasi McLaren musim lalu.
“Anda tidak boleh mengatakan tidak. McLaren telah membuktikan permulaan sukar tidak bermakna musim sudah berakhir.
“Kami hanya lapan mata di belakang dalam kejuaraan pemandu. Namun, untuk kejuaraan pasukan, ia cabaran besar kerana kami perlu memperbaiki jentera dengan ketara,” kata Horner.
Horner turut menekankan kepentingan memiliki dua pemandu yang konsisten mengutip mata, merujuk kepada kegagalan Sergio Perez tahun lalu menyebabkan Red Bull kehilangan gelaran pengeluar kepada McLaren.
“Kami perlukan dua kereta yang mampu bersaing. Untuk kejuaraan pemandu, anda perlukan satu lagi kereta yang boleh memberi saingan. Ini sangat penting bagi memastikan pasukan kekal dalam persaingan,” tambahnya.
Verstappen memenangi gelaran keempat berturut-turut pada 2024 walaupun berdepan masalah keseimbangan jentera RB20.
Bagaimanapun, kegagalan Perez mengekalkan prestasi selepas suku pertama musim lalu menyebabkan McLaren merampas kejuaraan pengeluar.
Akibatnya, Red Bull memilih untuk menamatkan kontrak Perez dan menggantikannya dengan Lawson, tetapi pemandu muda itu masih gagal memberi impak dalam dua perlumbaan pertama.
Malah, terdapat laporan bahawa Red Bull sedang mempertimbangkan untuk menggugurkannya seawal pusingan seterusnya di Jepun. – AGENSI