PETALING JAYA – Syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB), Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) mengumumkan jumlah pembayaran pengagihan pendapatan RM2.18 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2025 untuk dua dana harga tetapnya, iaitu Amanah Saham Bumiputera 2 (ASB 2) dan Amanah Saham Malaysia (ASM).
ASB 2 mengisytiharkan pembayaran pengagihan pendapatan sebanyak RM0.73 bilion, bersamaan 5.5 sen seunit kepada 614,309 pemegang unit, yang kini memiliki 14.12 bilion unit.
Sementara ASM mengisytiharkan agihan pendapatan sebanyak RM1.45 bilion, iaitu bersamaan lima sen seunit kepada 740,513 pemegang unit dengan pegangan 29.14 bilion unit.
Sehingga 20 Mac 2025, ASB 2 merekodkan pendapatan bersih terealisasi sebanyak RM0.8 bilion, manakala ASM mencatatkan RM1.55 bilion.
Urus niaga ASB 2 serta ASM ditangguhkan sementara dari 28 hingga 31 Mac ini, dan agihan pendapatan akan dilaburkan semula secara automatik ke dalam akaun pemegang unit pada 1 April 2025. – KOSMO! ONLINE