PENGENDALI skuad Harimau Malaya, Peter Cklamovski berpuas hati persembahan anak-anak buahnya selepas menewaskan Nepal 2-0 dalam aksi pertama Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Sultan Ibrahim kelmarin.
Menurut Cklamovski, pemain berjaya menterjemahkan apa yang dipraktikkan dalam tempoh lapan hari latihan pusat untuk perlawanan itu.
“Bagi saya, pemain sudah memberikan aksi terbaik dan saya berbangga dengan komitmen mereka. Dalam tempoh 90 minit permainan, mereka sudah berikan segalanya.
“Biarpun hanya berlatih dalam tempoh yang agak singkat, mereka berjaya menunjukkan hasil latihan intensif itu termasuk sepakan percuma yang menghadirkan gol kedua perlawanan,” ujarnya.
Dalam aksi sulung Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027, Harimau Malaya menjaringkan dua gol dalam setiap babak menerusi jaringan Hector Hevel (m-30) dan Corbin Ong minit ke-70.
Bagaimanapun, Cklamovski mendakwa masih terdapat ruang yang boleh diperbaiki bagi membolehkan pasukan memberi persembahan di tahap tinggi meskipun menang tanpa bolos ke atas Nepal.
“Banyak lagi kerja-kerja yang perlu dilakukan bagi meningkatkan lagi prestasi pemain ke tahap lebih tinggi. Secara peribadinya, saya merasakan skuad ini memiliki potensi untuk jadi lebih baik,” ujarnya.
Mengulas mengenai aksi dipamerkan Faisal Halim yang dibawa masuk pada babak kedua, Cklamovski berkata, pemain sayap itu telah memberikan sumbangan bermakna kepada pasukan.
Katanya, kemasukan pemain Selangor itu dalam tempoh yang pendek mampu memberi impak dengan menambah sengat kepada jentera serangan dengan larian pantasnya.
“Setiap kali menerima bola, dia akan membuat larian dan mendatangkan resah kepada pertahanan lawan, itu kebolehannya yang kita tagih.
“Kemahiran ini yang kita perlukan dan ini juga merupakan kemunculan semula terbaik daripadanya setelah sekian lama tidak beraksi bersama pasukan kebangsaan,” katanya.