KUCHING – Seorang kanak-kanak lelaki yang dilaporkan hilang di Batu 8, Jalan Penrissen di sini rupa-rupanya tersalah menaiki bas ekspres ke Kapit.
Ketua Polis Daerah Kapit, Deputi Superintendan Rohana Nanu berkata, mangsa yang dijumpai di hentian bas Kapit dan masih berpakaian sekolah kemudian dibawa orang awam ke Balai Polis Kapit pada pukul 3.30 petang semalam.
“Hasil temu bual awal mendapati kanak-kanak itu dipercayai menaiki bas ekspress bersendirian dari Kuching Central pada pukul 9.30 malam kelmarin dan tiba di Kapit pada pukul 8 pagi semalam.
“Kanak-kanak itu mengaku menaiki sendiri bas ekspress tanpa disedari oleh pemandu dan penumpang yang lain,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, ibu bapa kanak-kanak itu juga telah datang ke Balai Polis Kapit pada pukul 12.45 malam tadi untuk mengambil anaknya.
Tiada unsur jenayah atau penculikan dalam kes kehilangan kanak-kanak tersebut seperti yang tular dalam media sosial.
Difahamkan sebelum ini ibu bapa mangsa menerusi Facebook memohon bantuan orang ramai selepas anaknya tidak pulang dari sekolah pada hari kejadian, sebelum membuat laporan di Balai Polis Kota Sentosa.
Seorang penumpang bas yang mengecam wajah mangsa segera membawa kanak-kanak itu ke Balai Polis Kapit. – KOSMO! ONLINE