BUENOS AIRES – Kem Brazil tidak mampu lagi untuk berkata apa-apa selepas diaibkan juara dunia, Argentina 1-4 pada aksi kelayakan Piala Dunia 2026 di Estadio Monumental semalam.
Tonggak pertahanan Selecao, Marquinhos tampil dengan kenyataan bahawa seluruh pasukan kini agak sukar untuk menjelaskan keadaan sebenar tentang kekalahan kali ini.
“Sukar untuk menjelaskan apa yang berlaku, kekalahan ini amat menyakitkan terutamanya dalam perlawanan klasik seperti ini di tempat lawan. Adalah sukar untuk kami menganalisis apa yang sebenarnya telah berlaku.
“Kami memulakan perlawanan dengan teruk dan gagal menyerlahkan tahap permainan sebenar. Argentina mampu bermain dengan penuh yakin, beraksi baik dan cukup bijak untuk memenangi aksi ini,” katanya.
Jaringan awal Julian Alvarez membolehkan Argentina menyerlahkan kemampuan sebenar hingga memperoleh tiga lagi gol daripada Enzo Fernandez, Alexis Mac Allister dan Guiliano Simeone, manakala jaringan tunggal Brazil dihasilkan oleh Mattheus Cunha.
Marquinhos juga menjelaskan pemain-pemain Brazil wajar menyalahkan diri sendiri kerana gagal melaksanakan apa yang sepatutnya dilakukan dan tidak boleh meletakkan kesalahan itu sepenuhnya kepada jurulatih.
“Kami tidak tahu bagaimana untuk melaksanakan apa yang kami mahukan. Ini bukan hanya kesilapan jurulatih tetapi semua orang perlu bertanggungjawab,” katanya. – AGENSI