KUCHING – Berang tidak dibayar gaji, dua lelaki bertindak membakar sebuah jengkaut milik majikan mereka di sebuah tapak projek di kawasan Jalan Tun Dato Abang Haji Mohd Salahuddin, Petra Jaya semalam.
Bagaimanapun, tindakan kedua-dua lelaki berusia 34 dan 46 tahun itu membawa padah apabila mereka ditahan polis.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Mohd. Farhan Lee Abdullah berkata, susulan laporan yang diterima, pasukan Cawangan D7, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching berjaya menangkap kedua-dua suspek.
“Punca kejadian adalah disebabkan oleh ketidakpuasan hati antara suspek dengan majikan yang tidak membayar gaji lalu bertindak membakar jentera tersebut menggunakan botol kaca berisi petrol,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, ujian air kencing kedua-dua suspek juga mendapati mereka positif dadah.
Justeru, katanya kes disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali. – KOSMO! ONLINE