NEW DELHI – Sebuah bas melanggar kereta mewah milik pelakon Bollywood, Aishwarya Rai Bachchan di pinggir Mumbai semalam, lapor portal berita PTI.
Seorang pegawai tempatan berkata, kemalangan itu tidak melibatkan kecederaan.
Rakaman video kejadian menunjukkan bas merah milik agensi Bekalan Elektrik dan Pengangkutan Brihanmumbai (BEST) yang berada di belakang kereta tersebut menjadi tular di media sosial.
Namun, kelibat Aishwarya tidak kelihatan di tempat kejadian.
Video itu memaparkan kereta itu tidak mengalami kerosakan besar akibat rempuhan dari bas tersebut.
Menurut portal berita BollywoodShaadis.com, beberapa pengawal peribadi Aishwarya berada di luar keretanya ketika kejadian.
Selepas perbincangan dengan pemandu bas, kereta Aishwarya kemudian meninggalkan tempat kejadian.
“Orang yang rapat dengan pelakon itu mengesahkan bahawa dia (Aishwarya) berada dalam keadaan baik,” kata satu sumber – AGENSI