fbpx

Anak beraya ikut Farid, Diana tak sedih pun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TIDAK berasa kehilangan kerana melepaskan anak-anak beraya bersama bekas suami, Diana sebaliknya sudah merancang untuk mengadakan rumah terbuka yang menjadi acara wajibnya setiap kali tiba Syawal.

PENGAKHIRAN kemelut rumah tangga yang akhirnya sekali lagi menoktahkan status suami isteri menghujung mengubah landskap sambutan Aidilfitri wanita bernama Diana Danielle tahun ini.

Berpisah secara rasmi pada Isnin lalu, Diana dan Farid Kamil sebenarnya sudah awal memutuskan konsep penggiliran sambutan raya dengan anak-anak sempena Syawal yang bakal tiba.

Menurut Diana, dia bakal meraikan Syawal tahun ini tanpa kehadiran dua anaknya, Muhammad dan Nur Aurora di sisi.

Pemilik nama penuh Diana Danielle Danny Beeson, 34, itu juga mengakui menyambut kehadiran Syawal tanpa sebarang rasa berkecamuk dalam jiwa meski rumah tangga yang dibina selama 13 tahun sudah pun berkecai.

“Kalau orang tanya macam mana persiapan raya tahun ini ditambah ketika kemelut rumah tangga berlaku, macam tiada apa-apa pun, secara jujur tiada perasaan.

“Memang tidak ada ‘drama’ air mata seperti menangis tepi bucu katil atau meratap.

“Saya cuma syukur anak-anak dan Farid sihat. Paling penting kalau kehidupan dia okey, anak-anak akan gembira dan semua itu cukup buat saya bahagia.

“Sebab kami mempunyai pertalian, walau apa pun terjadi sehingga ke akhir hayatnya,” katanya.

Enggan melihat situasi itu sebagai satu momen menyedihkan, perkara tersebut adalah keputusan bersama Farid selain mahu Muhammad dan Nur Aurora terus merasai keseronokan menyambut hari lebaran dengan suasana kampung di Kedah.

Baginya, setiap perkara yang berlaku ketika ini perlu dihadapinya dengan berlapang dada kerana semua itu adalah hasil keputusannya yang memilih untuk bercerai.

“Harap sambutan hari raya Farid akan berlangsung dengan baik tambahan pula anak-anak akan ikut pulang beraya di Kedah selama seminggu.

“Saya tidak sedih pun, jangan ada yang tulis begitu pula. Ini pun memang berlaku atas keputusan sendiri, jadi perlu matang menghadapi.

“Apa pun saya okey sebab anak-anak ada seorang bapa yang sangat mengambil berat dan habiskan masa bersama.

“Saya pula tiada lagi beraya dengan suasana kampung, jadi, penting untuk anak-anak untuk terus memiliki momen beraya di kampung,” jelasnya.

Bukan tidak bersedih raya tanpa anak-anak di sisi, Diana sebaliknya memandang situasi tersebut sebagai peluang untuk menikmati masa buat diri sendiri.

“Sejujurnya saya okey sahaja dengan penggiliran ini, sebab ini ibarat ‘me time’ untuk diri sendiri dan berehat tetapi jangan ambil secara negatif pula.

“Inilah realiti kehidupan saya sekarang ini, daripada bersedih dan menanti kepulangan anak anak dengan perasaan sendu, itu bukan perkara bagus untuk saya.

“Jadi, saya lihat secara positif dan ambil peluang itu beri fokus pada diri sendiri. Bila mereka balik, kita sambung beraya.

“Mereka hanya pergi seminggu sedangkan raya sebulan. Ini bukan kali pertama pun sebab dua tahun lepas pun kami pernah,” katanya yang bersyukur Muhammad dan Aurora memahami situasi yang berlaku dalam keluarga mereka ketika ini.

Ujar Diana, dia tidak mempunyai masalah menyambut raya di ibu negara sementelah ramai ahli keluarga dan kenalan bersamanya pada 1 Syawal.

“Saya memang orang Kuala Lumpur, jadi beraya di sini bukan sesuatu yang janggal. Saya ada keluarga dan kawan-kawan, hari raya berjalan seperti biasa.

“Kalau tidak meletakkan rasa sentimental sangat, semua ini tidak akan jadi isu besar pun.

“Semuanya berlaku dalam keadaan praktikal dan logikal, tak perlu nak beremosi sangat tentang isu begini. Asalkan semuanya bahagia.

“Kami sedang mencari rentak baharu dan saya sangat respek serta hargai perkara itu juga,” tuturnya.

KEMBALI bergelar ibu tunggal, Diana tidak mahu berasa sedih dengan situasi yang menimpa dirinya menjelang raya tahun ini memandangkan semua itu keputusannya sendiri. – FIRDAUS JOHARI

Tiada pembaziran

Ketika ramai sedang sibuk membeli busana hari raya untuk dipakai sepanjang Syawal, berbeza pula situasi Diana.

Tidak berhabis ribuan ringgit untuk menggayakan pakaian glamor pada hari raya, itu prinsip dipraktikkannya sejak dahulu.

“Baju kurung saya dan anak-anak sudah selesai. Kami tak cerewet bab pakaian, hakikatnya kita pakai baju raya hanya setengah hari pada hari raya pertama.

“Mungkin untuk orang lain berbeza tetapi untuk kami pakai baju cantik berlip-lap memang setengah hari.

“Jadi, kami tak pernah terlalu fokus pada persediaan raya, asalkan Ramadan sudah dilalui dengan sempurna dan Aidilfitri adalah untuk meraikan kemenangan.

“Tak pernah berbelanja besar untuk baju raya sebab ramai sudah beri baju, mengapa saya perlu beli lagi,” ujarnya.

Dia bagaimanapun menegaskan perkara tersebut adalah kehendak dirinya dan individu lain bebas untuk memiliki waima berbelanja besar untuk persalinan hari raya.

“Kalau orang lain yang nak berbelanja besar, itu hak mereka. Bagi saya, itu bukan prioriti dan tak dibesarkan dalam keadaan yang pentingkan hal begitu,” jelasnya.

Dalam masa sama, dia mengakui tetap berbelanja untuk membeli busana hari raya buat anak-anak, namun berpada-pada.

“Aurora cerewet bab kain dan adakalanya kalau orang beri baju yang materialnya tak sesuai dengan kulit sebab ada ekzema, memang dia tidak akan pakai lama.

“Untuk Aurora selalunya saya berhabis RM400 beli dua pasang baju, Muhammad pula saya suka belikan samping yang bagus. Baju budak mahal sebenarnya.

“Mungkin nilai ini okey bagi saya tetapi mahal untuk orang lain. Terpulang kepada individu. Paling penting anak-anak bahagia dan seronok menikmati raya,” tuturnya lagi.

Bagai menjadi rutin tahunan, dia teruja untuk mengadakan rumah terbuka yang juga antara acara wajib paling disukai Muhammad dan Aurora.

“Raya semuanya tentang anak-anak tetapi paling saya tak sabar ialah nak anjurkan rumah terbuka, ajak kawan dan sanak-saudara.

“Tidaklah besar-besaran tetapi untuk keluarga dan kenalan rapat. Aurora dan Muhammad pun tak sabar nak jemput kawan kawan.

“Selalunya saya masak sendiri tetapi tetap tempah makanan daripada katering. Konsep saya, biar makanan lebih, jangan tak cukup,” jelasnya yang bakal muncul dengan single terbaharu tidak lama lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI