fbpx

Along bakar kereta, ancam nyawa seisi keluarga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Michael (duduk tengah) bersama dua mangsa insiden serangan along mengadakan sidang media di Wisma MCA di Kuala Lumpur hari ini. - Foto oleh MUHAMMAD NAIM HELMI HAFIDZI / KOSMO!

KUALA LUMPUR – “Tiba-tiba kami terhidu bau asap dan lihat kereta sedang marak terbakar. Asap mula memenuhi rumah. Kami bergegas keluar ikut pintu belakang untuk menyelamatkan diri.”

Itu detik cemas yang dialami sebuah keluarga di Kampung Baru Ampang di sini apabila rumah mereka menjadi sasaran sindiket peminjam wang tidak berlesen atau along pada pukul 2.10 pagi, 20 Mac lalu.

Kejadian itu menyebabkan keluarga terbabit terpaksa meninggalkan rumah dan menyewa kerana bimbang kan keselamatan mereka.

Seorang ahli keluarga yang mahu dikenali sebagai Leong, 29, berkata, ketika kejadian terdapat empat individu termasuk ibunya yang berusia 70 tahun berada dalam rumah tersebut.

“Saya tiada di rumah ketika kejadian. Selepas terima panggilan daripada ibu, saya bergegas pulang dan mendapati kereta jenis Mercedes-Benz kami terbakar dan rumah dipenuhi asap.

 

Kereta mangsa yang didakwa dibakar oleh along.

“Saya menjumpai nota yang dilekatkan pada tembok pagar rumah bertulis ‘This is warning next time come again your house make sure got problem’ sebelum membuat laporan polis,” katanya pada sidang akhbar di Wisma MCA di sini hari ini.

Leong berkata, nota ancaman itu turut tertera nama peminjam iaitu Wong yang juga sepupunya. Mereka sudah lama tidak berhubung dan lelaki itu kini berada di negara jiran.

Dia kemudian menghubungi Wong dan lelaki itu mengaku membuat pinjaman peribadi sebanyak SG$500 yang ditawarkan secara dalam talian.

Keadaan kereta mangsa yang didakwa dibakar oleh along.

Wong bagaimanapun mendakwa sudah membuat pembayaran balik sebanyak SG$700, tetapi ceti haram tersebut masih menuntut bayaran SG$5,000.

Leong kesal kerana keluarganya menjadi sasaran sedangkan pinjaman dilakukan oleh individu lain.

Sementara itu, Ketua Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam Persatuan Cina Malaysia, Datuk Seri Michael Chong berkata, mangsa membuat laporan polis pada pukul 3.38 pagi semasa hari kejadian.

“Saya berharap polis tidak hanya menyiasat kes ini dibawah jenayah kewangan, tetapi kerana cubaan membunuh.

“Kereta dibakar dan rumah juga nyaris terbakar. Ini cubaan membunuh. Jika kesemua mangsa tidak perasan kejadian itu, mereka boleh mati akibat kebakaran,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI