KUALA LUMPUR – Agrobank mencatatkan rekod penyaluran pembiayaan tertinggi sebanyak RM10.44 bilion pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024, pertumbuhan 25.46 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Jumlah portfolio pembiayaan meningkat 72.08 peratus sebanyak RM1,207.35 juta, didorong prestasi luar biasa tiga segmen perniagaan utamanya iaitu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang berjumlah RM547.68 juta, segmen Ar-Rahnu (RM186.92 juta) dan segmen mikro (RM181.21 juta).
Baki deposit turut menunjukkan pertumbuhan sihat untuk mencapai paras tertinggi dalam tempoh lima tahun, berjumlah RM13.25 bilion.
Jumlah pendapatan pula berada pada trajektori positif dengan peningkatan 9.32 peratus tahun ke tahun kepada RM1.26 bilion.
Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, tahun ini, pihaknya sedang memperhebatkan usaha dalam empat bidang, antaranya meluaskan inisiatif untuk merangsang pemodenan sektor pertanian melalui penyelesaian kewangan yang berpatutan, dan program menggalakkan penggunaan teknologi pintar.
“Kedua, kami akan memperkukuh komitmen terhadap keterangkuman kewangan dengan meneroka pengembangan penyelesaian takaful kepada sektor pertanian selain tanaman padi, serta meningkatkan tawaran perkhidmatan kami untuk jangkauan yang lebih luas.
“Ketiga, kami akan terus menyokong peralihan sektor pertanian ke arah aktiviti yang lebih lestari dengan mengintegrasikan penilaian risiko iklim dalam amalan pemberian pinjaman dan akhirnya, kami komited untuk mencungkil bakat bagi terus memajukan agenda pembangunan Agrobank dalam sektor pertanian,” katanya. – KOSMO! ONLINE