JOHOR BAHRU – Sembilan individu diberkas dipercayai terlibat dalam kes pembunuhan seorang ahli kongsi gelap di sebuah restoran di Taman Setia Indah, di sini pada 8 Januari lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar berkata, mereka yang juga ahli kongsi gelap ditahan dalam operasi berasingan di sekitar bandar raya ini pada 8 Mac dan 17 Mac lalu.
Menurut beliau, suspek utama lelaki tempatan berusia 64 tahun yang dipercayai terlibat dalam kes pembunuhan itu ditembak mati oleh pihak polis.
“Pada pukul 3.10 pagi, 8 Mac lalu, polis berjaya mengesan suspek utama di Taman Molek di sini dan cuba menahannya, namun berlaku insiden berbalas tembakan sebelum suspek ditembak mati.
“Pada hari sama pukul 5 hingga 6 pagi, enam suspek ditahan di sebuah rumah di Jalan Ah Siang, manakala tiga yang lain ditangkap pada pukul 9.45 pagi hingga 1 tengah hari di Jalan Bukit Meldrum 17 Maclepas,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.
Tambah Kumar, kesemua suspek yang ditahan berusia 36 hingga 66 tahun. Mereka direman sehingga 30 Mac ini bagi membantu siasatan.- KOSMO! ONLINE