KUALA LUMPUR – Sebanyak lima kem Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerima peruntukan RM100,000 bagi menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan serta pembaikan menerusi Program Satu Pemimpin, Satu Kem Santuni Madani 2025.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kementeriannya membelanjakan RM500,000 untuk lima buah kem bagi tahun ini.
“Tahun depan lain kem, setiap kem sebanyak RM100,000 untuk kerja-kerja penyelenggaraan, pembaikan. Apabila kem itu sudah kenal pasti apa yang mereka hendaki, saya percaya kem-kem sudah bersedia, dengan inisiatif yang nak dibuat dengan program ini,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Pengumuman Dividen Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) di sini, hari ini.
Katanya, lima kem terlibat adalah empat di Sabah iaitu Kem Lok Kawi, Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Kota Kinabalu, Kem Kabota serta Kem Paradise dan satu di Pulau Pinang melibatkan Pangkalan Udara Butterworth. – KOSMO! ONLINE