KOTA BHARU – Seramai 23 remaja termasuk pelajar sekolah di Kelantan mengalami kecederaan termasuk putus jari akibat letupan mercun sepanjang 26 Ramadan ini.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Datuk Dr. Zaini Hussin berkata, daripada jumlah itu, seramai 10 mangsa menerima rawatan sebagai pesakit luar, manakala lagi 13 mangsa dimasukkan ke wad untuk rawatan lanjut.
Katanya, mangsa berusia belasan tahun malah ada antara mereka mengalami kecederaan serius termasuk putus jari dan pergelangan tangan.
“Kesemua 10 buah hospital daerah di Kelantan mempunyai kes mangsa yang terkena letupan mercun. 10 kes rawatan pesakit luar masing-masing melibatkan mangsa yang dirawat di Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh, Hospital Machang dan Gua Musang.
“Selain itu, masing-masing dua kes pesakit luar dirawat di Hospital Jeli dan Pasir Mas, manakala tiga kes lagi direkodkan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Mengulas lanjut, Zaini memberitahu, bagi 13 kes mangsa yang ditahan di wad ditempatkan di lapan buah hospital daerah kecuali Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai dan HRPZ II.
Tambahnya, tiga kes yang dilaporkan di Jeli dan Tanah Merah pula melibatkan kejadian mercun buatan sendiri. – KOSMO! ONLINE