fbpx

Video tular didakwa berunsur komunis disiasat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menyiasat satu video tular berkaitan kewujudan sebuah pertubuhan tidak berdaftar dikenali sebagai Persatuan Promosi Penyatuan Secara Aman Satu China di Malaysia atau Persatuan Penyatuan Satu Cina pada Isnin lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, video berdurasi dua minit 57 saat itu dihuraikan dengan suara latar bahasa asing yang mendakwa bahawa pertubuhan terbabit mempunyai kecenderungan mempromosi fahaman dan amalan komunis di Malaysia.

Beliau berkata, PDRM memandang serius dakwaan berkenaan memandangkan sebarang usaha menghidupkan semula fahaman komunis secara halus mahupun terbuka bertentangan dengan prinsip Rukun Negara serta boleh mangancam keselamatan dan kedaulatan negara.

“Malaysia secara tegas telah menolak ideologi komunis sejak tahun 1948 dan sebarang bentuk promosi atau glorifikasi terhadap fahaman ini boleh diklasifikasikan sebagai satu ancaman kepada ketenteraman awam serta perpaduan nasional.

“Sehubungan itu, PDRM melalui Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bahagian D5, JSJ Bukit Aman sedang menjalankan siasatan terperinci di bawah Seksyen 41/43 Αkta Pertubuhan 1966, Seksyen 505(B) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya menerusi kenyataan, malam ini.

Menurut beliau, PDRM memberi jaminan bahawa siasatan menyeluruh sedang dijalankan terhadap pertubuhan yang disebut selain dakwaan berkaitan aktiviti tidak berdaftar, penggunaan simbol-simbol komunis dan unsur subversif.

Katanya, sebarang cubaan untuk menggugat kedaulatan negara atau menyemai fahaman bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan akan ditangani dengan tegas.

“PDRM menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpengaruh dengan sebarang kenyataan, video atau gerakan yang boleh mencetuskan kegusaran awam dan menggugat keharmonian antara kaum di negara ini.

“Masyarakat diseru untuk menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan mencurigakan terus kepada pihak berkuasa melalui saluran rasmi serta tidak menyebarkan kandungan yang belum disahkan kerana ia boleh mengundang salah faham dan mengeruhkan keadaan,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI