SHAH ALAM – Gara-gara duit syiling 50 sen menyebabkan jurujual wanita dimaki hamun seorang pelanggan dalam kejadian di sebuah kedai rangkaian aiskrim di Central I-CITY, Seksyen 7 di sini, semalam.
Laporan polis berhubung kejadian itu dibuat mangsa berketurunan Iban Seadayak kira-kira pukul 8.25 malam tadi.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, siasatan mendapati suspek merupakan seorang lelaki telah datang ke premis itu bersama keluarganya untuk membeli aiskrim dan air berperisa strawbery berharga RM6.50.
Katanya, suspek telah memberikan wang tunai sebanyak RM10 sewaktu membuat pembayaran.
“Bagaimanapun, telah berlaku perselisihan faham ketika mangsa meminta wang syiling 50 sen daripada suspek kerana tidak mempunyai baki wang syiling yang cukup di dalam mesin juruwang.
“Suspek telah menyindir mangsa kerana meminta wang syiling tersebut sebelum mangsa kemudiannya telah menutup mesin juruwang dengan kuat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, ini telah menyebabkan suspek berasa tidak berpuas hati lalu memarahi dengan mengeluarkan kata-kata kesat dan menghina mangsa.
Tambahnya, kejadian tersebut telah dileraikan rakan setugas mangsa dan suspek kemudiannya terus beredar setelah urusan pembelian selesai.
“Hasil siasatan lanjut pihak polis, mendapati mangsa telah menghantar video rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) kedai terbabit kepada ahli keluarganya sebelum ditularkan individu tidak bertanggungjawab di laman sosial TikTok,” jelasnya.
Justeru, kata beliau siasatan dijalankan mengikut Seksyen 504 dan 509 Kanun Keseksaan selain Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut mengenai kejadian boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat Jenayah Inspektor Siti Mahanira Mahat di talian 0176444895,” katanya. – KOSMO! ONLINE
JURUJU