PETALING JAYA – Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mengarahkan syarikat konsesi Selia Senggara Selatan Sdn. Bhd mengemukakan laporan terperinci mengenai kemalangan di Jalan Sengkang-Felda Inas-Bandar Tenggara, Kluang, Johor, yang telah meragut nyawa dua beradik baru-baru ini.
Alexander berkata, beliau sangat terkesan dengan kejadian yang dipercayai berpunca daripada jalan berlubang itu sehingga bertindak membatalkan mesyuarat pasca-Kabinet di kementerian untuk bertemu dengan wakil syarikat konsesi berkenaan di Melaka.
“Seperti rakyat Malaysia yang lain, saya turut terkejut dan bersedih atas kejadian ini, lebih-lebih lagi isu jalan berlubang menjadi antara fokus utama saya sejak menerajui Kementerian Kerja Raya (KKR) pada 2022.
“Dalam pertemuan yang berlangsung lebih dua jam itu, saya telah membangkitkan banyak isu dan mengarahkan mereka memberi penjelasan kepada saya dan pengurusan tertinggi Jabatan Kerja Raya (JKR) serta KKR.
“Saya juga mengarahkan syarikat konsesi dan JKR untuk mengemukakan laporan terperinci mengenai kejadian kemalangan tersebut kepada saya dengan segera,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Menurutnya, beliau juga telah menegur dengan tegas, bahawa syarikat konsesi perlu meningkatkan usaha untuk memastikan jalan yang berada di bawah tanggungjawab mereka sentiasa dalam keadaan baik demi keselamatan pengguna.
Selain itu katanya, beliau turut mengingatkan semua syarikat konsesi untuk meningkatkan kekerapan rondaan jalan raya bagi mengesan dan memperbaiki kerosakan dengan lebih cepat, serta menyemak semula prosedur pemantauan dan pembaikan.
“Jangan hanya bertindak selepas tragedi berlaku, kerana pematuhan kepada standard penyelenggaraan jalan bukan sekadar tanggungjawab kontrak, tetapi juga satu amanah untuk memastikan keselamatan rakyat.
“Saya tidak mahu ada lagi nyawa yang melayang disebabkan kelemahan infrastruktur jalan raya.
“Sekali lagi, saya mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban dan berharap kejadian ini menjadi peringatan kepada semua pihak agar tidak memandang ringan isu penyelenggaraan serta keselamatan jalan raya,” tambahnya.
Terdahulu media melaporkan, dua beradik lelaki maut apabila motosikal yang ditunggangi terbabas selepas terlanggar lubang di Jalan Sengkang-Felda Inas-Bandar Tenggara.
Kedua-dua mangsa, Norhazim Kamaruzaman, 17 dan pembonceng, Nur Alif Ikhwan Kamaruzaman, 16, mengalami kecederaan parah di kepala dan badan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. – KOSMO! ONLIN