PEMAIN beregu campuran negara, Chen Tang Jie mengakui masih memasang impian untuk meraih kejuaraan bersama Toh Ee Wei meskipun dikatakan berdepan konflik melibatkan hubungan mereka berdua.
Tang Jie berkata, dia akur dengan keputusan barisan kejurulatihan untuk merehatkan mereka daripada sebarang kejohanan buat seketika selepas prestasi hambar ditampilkan sepanjang saingan musim ini.
Pemain berusia 27 tahun itu menjelaskan, dia juga langsung tidak terfikir untuk berpisah dengan gandingannya meskipun ada ura-ura mereka mungkin akan dipisahkan sekiranya hubungan masih belum jernih.
“Saya hanya bekerja keras dan buat apa yang saya suka. Saya pun hanya menjalani latihan pada setiap hari dan tidak fikir banyak selain percaya dengan setiap keputusan dilakukan jurulatih.
“Untuk saya, sudah tentu mahu cuba dapatkan lagi gelaran bersama Ee Wei tetapi tengok dulu selepas ini. Saya tidak pernah terlintas mengenai perkara itu (berpisah),” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara semalam.
Terdahulu, ketua jurulatih beregu campuran negara, Nova Widianto mengambil keputusan untuk merehatkan pasangan No. 4 dunia itu daripada sebarang kejohanan termasuk menarik diri daripada Kejohanan Badminton Asia (BAC) di Ningbo, China bermula 8 hingga 13 April depan.
Menurut Nova, hubungan dingin antara kedua-dua pemainnya itu sudah dikesan sekian lama iaitu ketika beraksi pada temasya Sukan Olimpik Paris 2024 tahun lalu.
Sementara itu, Tang Jie juga agak terkilan tidak dapat beraksi pada saingan BAC nanti kerana hasratnya untuk menggalas tugas negara selain menambah koleksi kejuaraan bersama Ee Wei.
“Bagi saya, tidak main (BAC) rasa sayang juga kerana ini mewakili negara selain ada peluang memenangi pingat sekiranya bermain dengan baik tetapi kita terima keputusan kerana aksi di All England dan Orleans (Masters) tidak bagus,” ujarnya.