PENUKARAN tarikh perlawanan akhir Piala Malaysia nyata memberi kelegaan buat kem Sri Pahang FC untuk memastikan pemain benar-benar berada dalam keadaan bersedia untuk tampil aksi lebih berkualiti.
Perubahan sepak mula kepada 26 April berbanding 12 April mengikut jadual asal wajar dilihat daripada aspek positif sekali gus mampu memastikan kualiti perlawanan menepati jangkaan para peminat.
Ketua Pegawai Eksekutif Sri Pahang, Datuk Mohammed Suffian Awang berterima kasih atas pertimbangan MFL meminda tarikh final yang dilihat mampu memberi ruang kepada Tok Gajah melakukan persiapan lebih rapi.
Dalam masa sama, Mohammed Suffian juga merasakan perubahan itu mampu membantu penyokong merancang perjalanan dengan lebih baik.
“Penundaan final Piala Malaysia ke 26 April memberi ruang kepada penyokong merancang perjalanan dengan lebih baik.
“Ini keputusan yang positif buat semua dan kami bersedia bagi menghadapi pertemuan menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di (Stadium Nasional) Bukit Jalil,” katanya.
Pendirian Tok Gajah seakan berasas memandangkan kelab dari Pantai Timur itu sedang mencari rentak terbaik selepas hanya meraih satu kemenangan dan satu seri dalam lima perlawanan terakhir Liga Super.