BANGI – Senarai bahan berbahaya akan ditambah baik bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan undang-undang, lebih-lebih lagi dengan kewujudan dadah baru di pasaran.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, trend warga asing yang membuka makmal dadah di negara ini semakin membimbangkan kerana wujudnya dadah jenis baharu seperti fentanyl.
Bagaimanapun, katanya bahan kimia tersebut tidak tersenarai dalam jadual racun berbahaya menyebabkan kesukaran pihak berkuasa untuk melakukan pendakwaan.
“Di bawah senarai Akta Racun 1952 hanya 110 bahan terlarang. Tapi sebenarnya hampir 1,000 jenis-jenis dadah yang wujud di bawah United Nations Office on Drugs and Crime.
“Dari segi perundangan, kalau kita kesan bahan baharu, yang tidak tersenarai, kita akan alami kesukaran untuk menyabit suspek tersebut.
“Dengan teknologi baharu sedia ada ini, kita dapat kesan keseluruhan bahan-bahan terlarang yang ada dalam urin secara tepat dan cepat,” katanya.
Beliau berkata pada sidang akhbar di Mesyuarat Projek Kerjasama Strategik untuk Aktiviti Pendidikan dan Penyelidikan dalam Bidang Sains Forensik di antara Polis Diraja Malaysia dan Universiti Kebangsaan Malaysia, di sini hari ini.
Ayob Khan berkata, dengan kerjasama yang terjalin bersama UKM, satu mesin berteknologi tinggi iaitu Tim-Off akan digunakan bagi menjalankan penyelidikan lanjut berhubung bahan-bahan terlarang.
Beliau berkata, antara kejayaan lain mesin ini juga adalah penemuan methamphetamine dan fentanyl dalam air kumbahan di Lembah Subang sekali gus menunjukkan kemungkinan kewujudan makmal memproses dadah di kawasan tersebut.
“Dahulu kita (PDRM) tiada kemampuan atau peralatan untuk mengesan dadah dalam air kumbahan. Tapi ini (Tim-Off) satu benda baharu, banyak membantu kita.
“Buat masa sekarang, kita hanya buat di Lembah Klang dan akan perluaskan lagi pengambilan sampel di seluruh negara.
“Contoh kita dapat baru-baru ini, kita kesan dadah dalam air kumbahan di Lembah Klang, tetapi dah dikesan di Johor Bahru. Maksudnya dadah tu semakin berleluasa,” katanya. – KOSMO! ONLINE