fbpx

Rebut peluang pelepasan cukai sukan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KERAJAAN menerusi Kementerian Belia dan Sukan komited dengan usaha memupuk gaya hidup sihat dalam kalangan rakyat Malaysia sekali gus menjadikan sukan sebagai budaya kehidupan.

DALAM usaha menjadikan rakyat lebih aktif bersukan dan mengamalkan gaya hidup sihat, kerajaan Malaysia memperkenalkan pelepasan cukai baharu sehingga RM1,000 bagi penglibatan aktiviti sukan, termasuk yuran latihan sukan.

Diumumkan dalam Belanjawan 2024, inisiatif ini berkuat kuasa mulai tahun taksiran 2024 dijangka memberi manfaat besar kepada individu yang aktif bersukan serta turut memberi impak kepada industri sukan negara.

Menariknya, sebanyak 103 jenis sukan yang diwartakan akan menikmati pelepasan cukai berbanding 51 sukan sebelum ini.

Inisiatif pelepasan cukai yang diberikan ini akan memberi dorongan yang besar kepada masyarakat untuk melibatkan diri secara aktif dalam pelbagai acara sukan dan aktiviti rekreasi.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menyifatkan langkah ini sebagai satu perubahan cukup penting yang bukan sahaja menggalakkan rakyat beriadah, tetapi juga menyokong perkembangan sektor sukan tempatan.

HANNAH

“Latihan sukan kini termasuk dalam kategori pelepasan cukai. Ini bermaksud, sesiapa sahaja boleh belajar sukan baharu atau mendapatkan latihan profesional dan mereka boleh menuntut cukai bagi yuran yang dibayar,” kata Hannah.

Yuran latihan yang kini boleh dituntut dalam pelepasan cukai adalah perubahan yang besar diperkenalkan, namun ia perlu memenuhi kriteria yang ditetapkan termasuklah latihan dilakukan secara berstruktur, seperti kelas, klinik, kursus atau bengkel.

Selain itu, jenis sukan mesti termasuk dalam Jadual Pertama, Akta Pembangunan Sukan 1997 (Akta 576) dan penyedia latihan perlu berdaftar dengan Pesuruhjaya Sukan atau diperbadankan di bawah Akta Syarikat 2016.

Para pencukai juga boleh mendapat pelepasan menerusi bayaran sewaan atau fi kemasukan ke fasiliti sukan, contohnya bayaran untuk sewa gelanggang badminton, gimnasium atau kolam renang.

Apa yang lebih menarik, pelepasan cukai ini boleh digunakan untuk perbelanjaan sukan yang dibuat bagi diri sendiri, pasangan serta anak-anak berdasarkan apa yang disenaraikan dalam Akta Pembangunan Sukan 1997 (Akta 576).

WARGA Malaysia kini mampu melunaskan minat dengan menceburi bidang sukan baharu tanpa memikirkan bebanan kewangan apabila mereka boleh menuntut cukai menerusi yuran yang dibayar.

Pelepasan cukai ini juga turut melibatkan bayaran pendaftaran untuk menyertai pertandingan, tetapi dengan syarat ia perlu diiktiraf oleh Pesuruhjaya Sukan (PJS) atau badan sukan berdaftar.

Selain itu, mana-mana individu yang membayar yuran keahlian gimnasium atau latihan sukan turut mendapat pelepasan cukai, tetapi ia mesti dikendalikan oleh jurulatih atau organisasi berdaftar.

Perkara paling utama ialah perbelanjaan perlu dibuktikan dengan resit rasmi daripada badan sukan atau syarikat berdaftar kerana slip bank-in dan penyata akaun bank tidak diterima sebagai bukti pembayaran.

Menariknya, pelepasan cukai ini kini turut diperluaskan kepada ibu bapa pembayar cukai sekali gus dapat meningkatkan aktiviti sukan dalam kalangan rakyat Malaysia .

“Tahun 2025, kita telah luaskan pelepasan ini kerana mereka boleh gunakan bukan sahaja untuk diri pembayar cukai dan anak tetapi kepada ibu bapa pembayar cukai juga boleh guna pakai insentif ini.

PEMINAT sukan badminton mampu menarik nafas lega apabila bayaran sewa gelanggang juga termasuk dalam pelepasan cukai menerusi insentif baharu ini.

“Kita nak galakkan gaya hidup sihat, semua generasi. Langkah ini memberi ruang kepada warga emas untuk terus aktif dan sihat,” tambah Hannah.

Pelepasan cukai ini tidak hanya memberi kelebihan kepada individu, tetapi juga membuka peluang besar kepada industri sukan seperti akademi sukan, gimnasium, serta jurulatih peribadi dijangka menerima lebih ramai pelanggan yang ingin memanfaatkan insentif ini.

Bagi mengelakkan sebarang masalah dalam tuntutan cukai, orang ramai digalakkan menyemak penyedia latihan sukan terlebih dahulu sebelum mendaftar ke mana-mana program.

Semakan boleh dilakukan menerusi portal rasmi www.erosa.kbs.gov.my, yang menyediakan maklumat lengkap mengenai badan sukan dan aktiviti yang diiktiraf.

Dengan pelaksanaan yang efektif, pelepasan cukai ini bukan sahaja dapat meningkatkan kesihatan rakyat Malaysia, tetapi juga membantu membangunkan industri sukan ke tahap yang lebih profesional dan kompetitif di peringkat antarabangsa. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI