KOTA BHARU – Kerajaan Kelantan mengumumkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) Aidilfitri 2025 sebanyak RM500 kepada seramai 9,000 anggota perkhidmatan awam di negeri ini.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud berkata, sumbangan BKK itu melibatkan kos sebanyak RM5 juta yang akan disalurkan esok sama seperti yang diumumkan oleh Kerajaan Pusat.
Menurutnya, bantuan itu turut melibatkan pegawai-pegawai lantikan politik, guru-guru pondok, namun dengan nilai berlainan kerana mereka bukan tergolong dalam kalangan kakitangan kerajaan negeri.
“Selain itu, kerajaan negeri mengumumkan 30 Mac atau Ahad ini sebagai cuti peristiwa bagi memberi keselesaan kepada seluruh rakyat membuat persiapan sambutan Hari Raya Aidilfitri.
“Ini bermakna rakyat Kelantan akan bercuti panjang sempena sambutan Aidilfitri tahun ini, iaitu bermula Jumaat hingga hari kedua Syawal iaitu pada Selasa.
“Kita mahu rakyat Kelantan mendapat ruang yang lebih untuk merapatkan hubungan silaturrahim bukan sahaja bersama keluarga,”katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Kelantan di Kompleks Kota Darul Naim di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd. Nassuruddin memberitahu, kerajaan negeri akan menganjurkan Sambutan Hari Raya Aidilfitri Anak-Anak Kelantan di perantauan pada hari raya kedua bertempat di Dewan Yayasan Islam Kelantan, Tunjong di sini bermula pukul 8.30 malam. – KOSMO! ONLINE