PORT DICKSON – Seorang pemandu kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux maut selepas kenderaannya terbalik dalam kemalangan dengan Perodua Myvi di Jalan Springhill di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Maslan Udin berkata, mangsa seorang lelaki berusia 37 tahun mengalami kecederaan parah di kepala dan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Dalam kejadian pada pukul 8.13 malam itu, siasatan mendapati kereta Toyota Hilux dipandu mangsa dari arah Lukut menghala ke Springhill manakala pemandu kereta Perodua Myvi seorang lelaki berusia 28 tahun dari arah bertentangan.
“Sebaik tiba di tempat kejadian, motosikal telah membelok ke kanan untuk keluar ke simpang dan pada masa sama, Toyota Hilux tidak sempat mengelak telah melanggar bahagian depan sebelah kiri Perodua Myvi,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurut Maslan, kemalangan tersebut menyebabkan Toyota Hilux terbalik manakala Perodua Myvi terbabas ke kanan jalan.
“Pemandu Toyota Hilux mengalami cedera parah pada kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian manakala penumpang kenderaan mengalami cedera ringan dan mendapat rawatan di Hospital Port Dickson.
“Pemandu dan penumpang kereta Perodua Myvi bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE