PEMANSUHAN Piala MFL oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) tidak wajar dilihat sebagai langkah ke belakang, sebaliknya wajar menjadi titik permulaan buat pemain-pemain muda mencabar diri sendiri bagi merebut tempat dalam skuad senior.
Dengan pengalaman yang dimiliki sejak pertandingan itu diwujudkan pada 2023, pemain tempatan harus kekal dengan sikap terbuka untuk memperbaiki diri sekali gus cuba memberi cabaran kepada tonggak-tonggak pasukan utama.
“Saya melihat dari sudut positif di mana yang pertama, ini adalah peluang untuk pemain muda kita diketengahkan ke pasukan utama di pentas Liga Super. Ini yang biasa kita amalkan di Terengganu, di mana kita bawa beberapa pemain untuk bersama skuad utama.
“Jadi saya harap pemain muda kita terutamanya pemain tempatan seharusnya menggunakan peluang ini untuk menimba pengalaman lebih luas bersama pasukan senior,” kata ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Badrul Afzan Razali.
Antara pemain yang berjaya menjadikan Piala MFL sebagai platform mencipta nama di pentas lebih tinggi ialah Ubaidullah Shamsul Fazili dan Safwan Mazlan yang kini turut tersenarai dalam skuad Harimau Malaya kendalian Peter Cklamovski.
Sementara itu, pengendali Perak FC, Yusri Che Lah melihat langkah memansuhkan Piala MFL bermula musim 2025-2026 sebagai satu langkah yang mampu memberi impak baik terhadap pembangunan pemain muda.
“Bagi saya, tiada masalah pun kalau kita nak pemain muda lebih berdaya saing dengan pemain utama. Meskipun tiada lagi Piala MFL, setidak-tidaknya mereka dapat beri tekanan dalam skuad senior.
“Pandangan saya secara peribadi, untuk pemain yang berumur sekitar 18 hingga 20 tahun, mereka sepatutnya sudah hampir untuk berada dalam skuad utama, tidak perlu di Piala MFL,” katanya.