KUALA TERENGGANU – Pasangan doktor memfailkan saman sivil berjumlah RM1.2 juta di Mahkamah Tinggi di sini hari ini terhadap empat defendan yang merupakan pemilik dan tiga pengasuh sebuah taska yang didakwa menyebabkan kecacatan anak tunggal mereka akibat kecuaian pada dua tahun lalu.
Ahmad Syamil Hadi Ibrahim, 31, memfailkan tuntutan terbabit bagi menuntut keadilan buat anaknya, Ahmad Aysar Wildan berusia dua tahun enam bulan yang kini bergelar orang kurang upaya (OKU) akibat insiden yang berlaku pada awal tahun 2023 lalu.
Empat defendan dinamakan iaitu Raja Noor Iffa Nadia Raja Nordin, 29; Nur Azreen Mohamad, 24; Nuurakmal Syahirah Abdullah, 35, dan Salawati Sidek, 51.
Raja Noor Iffa Nadia merupakan pengasuh yang didapati bersalah mencederakan plaintif, Nur Azreen dan Nuuralmal Syahirah pula rakan sekerja defendan pertama manakala Salawati
pemilik taska berkenaan.
Berdasarkan writ saman sivil yang difailkan menerusi firma guaman, Tetuan Rafaei & Co, kesemua defendan didakwa bertanggungjawab terhadap insiden berlaku di Taska Atie Hanna, Batu Burok di sini dimiliki Salawati antara 1 Januari hingga 3 Januari 2023 tersebut.
Peguam, Mohd. Hazwan Hamidun yang mewakili plaintif berkata, plaintif (Ahmad Aysar Wildan) mengalami pendarahan pada kedua-dua retina matanya dan otak akibat keretakan pada bahagian kiri tenggorak.
Beliau berkata, semua fakta kejadian telah dirakam oleh televisyen litar tertutup (CCTV) yang dipasang di dalam taska terbabit.
“Raja Noor Iffa telah dijatuhi denda RM45,000 atas kesalahan tiga pertuduhan mencederakan plaintif mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 Oleh Mahkamah Sesyen di sini pada 16 Disember tahun lalu.
“Defendan kedua dan ketiga, Nur Azreen Nazira dan Nuurakmal Syahirah pula merupakan rakan sekerja Raja Noor Iffa Nadia yang turut berada di dalam bilik asuhan tanpa mencegah dan melarang perbuatan defendan pertama mengasari plaintif sewaktu kejadian,” katanya.
Beliau berkata, Salawati pula pemilik taksa yang dilihat cuai memastikan semua pengasuhnya mematuhi etika kerja.
Kosmo! 11 Januari 2023 melaporkan seorang bayi lelaki berusia empat bulan koma disyaki akibat kecuaian pengasuh di sebuah taska di sini. – KOSMO! ONLINE