SELEPAS berehat panjang, ratu terjun negara, Pandelela Rinong bakal kembali beraksi di pentas antarabangsa bersama Enrique Maccartney Harold dalam Piala Dunia Terjun 2025 di Guadalajara, Mexico pada 3 hingga 6 April ini dan Windsor, Kanada (10-13 April).
Pengarah teknikal skuad terjun negara, Yeoh Ken Nee mengesahkan hanya dua penerjun negara dihantar ke kejohanan tersebut selepas mereka memenuhi skor kelayakan minimum (MQS).
“Kami hanya menghantar dua atlet kerana mereka telah memenuhi kelayakan. Penyertaan ini lebih kepada pendedahan buat mereka sebelum kejohanan besar seterusnya,” jelas Ken Nee.
Bagi Pandelela, kejohanan itu amat penting selepas hampir lima bulan tidak beraksi sejak Kejohanan Terjun Terbuka Malaysia tahun lalu dan ia menjadi medan pemanas badan sebelum bersaing pada Kejuaraan Dunia di Singapura pada Julai nanti.
“Selepas berehat lama, kami mahu dia menyertai dua hingga tiga kejohanan antarabangsa terlebih dahulu sebelum turun beraksi di Kejuaraan Dunia,” tambahnya.
Sasaran utama skuad negara dalam Piala Dunia kali ini adalah untuk sekurang-kurangnya melayakkan diri ke peringkat akhir.
“Matlamat utama kami adalah memastikan Enrique dan Pandelela berjaya ke final. Itu akan menjadi petanda positif buat mereka menjelang kejohanan lebih besar,” katanya.
Kedua-dua penerjun itu menunjukkan prestasi cemerlang dalam Terbuka Malaysia pada November lalu apabila Pandelela meraih emas acara 10 meter (m) platform wanita, manakala Enrique meraih perak kategori lelaki.
Dengan kehadiran Ken Nee sebagai pengarah teknikal baharu, skuad negara kini berada dalam fasa memperkemaskan program latihan dan strategi bagi memastikan Malaysia terus gah di pentas dunia.