PERMAINAN e-Sukan terkemuka di Malaysia, Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) menyatakan sokongan ujian doping terhadap pemain sekiranya ia dilaksanakan Persekutuan eSukan Malaysia (MESF) dalam tempoh terdekat ini.
Ujian doping dijangka diperkenalkan pada aksi Liga Profesional Mobile Legends: Bang Bang (MPL) Malaysia 2025 di Stadium Juara, Kuala Lumpur bermula 19 April nanti.
Ketua e-Sukan (MY dan SEA Incubation) MOONTON Games, Siew Hao Zhen berkata pihaknya menyambut baik sekiranya ujian doping diperhebat dalam sukan berkenaan kerana menyifatkan ia bukanlah sesuatu yang baharu.
“Saya pernah bekerja di negara lain dan ujian doping untuk atlet e-Sukan sudah lama dipraktikkan.
“Jika MESF menguatkuasakan ujian doping ke atas pemain MPL nanti, kami akan memberi sokongan penuh serta mematuhi peraturan tersebut.
“Bagaimanapun, kami akan menunggu pengesahan rasmi daripada MESF sebelum mengambil langkah selanjutnya,” katanya ketika ditemui pada majlis berbuka puasa di ibu negara semalam.
Dalam pada itu, Hao Zhen turut mengesahkan MPL MY Musim 15 akan berlangsung dari 19 April hingga 15 Jun dengan memperkenalkan dua pasukan baharu iaitu Ocean Black dan DX Soul.
“Musim Ke-15 akan kembali dengan format dua peringkat yang sama termasuk Regular Season diikuti dengan playoff. Regular Season akan membariskan 10 pasukan hebat MLBB negara ini yang akan bertanding setiap minggu bermula dari 19 April ke 25 Mei.
“Regular Season akan dimainkan dalam format single round-robin yang mana setiap perlawanan dimainkan secara best of three (BO3).
“Menariknya, musim ini akan membahagikan playoff kepada dua fasa yang akan berlangsung sepanjang hujung minggu dalam Musim Ke-15,” ujarnya.