JASIN – Ibu empat anak yang maut dalam kemalangan di Merlimau, di sini kelmarin sempat mengajak suaminya pulang ke kampung di Terengganu sempena Aidilfitri lebih awal berbanding biasa.
Dalam kejadian pada pukul 8 pagi itu, arwah Noor Faradhillah Muhammad Yusuff, 42, yang menunggang motosikal bertembung dengan kereta sewaktu dalam perjalanan pulang menghantar anaknya ke sekolah.
Suami mangsa, Tengku Syafarin Tengku Abdullah, 45, berkata, arwah isterinya keluar dari rumah pada pukul 7.50 pagi untuk menghantar anak ketiga mereka ke sekolah.
“Dia pesan jaga anak bongsu berusia enam bulan. Sebelum kejadian, arwah sempat hantar jualan kuih raya kepada pelanggan di Kampung Tedong sebelum membeli barangan dapur.
“Seorang jiran beritahu isteri terlibat dalam kemalangan. Luluh hati ini melihat tubuh isteri yang sudah tidak bernyawa kira-kira dua kilometer dari rumah kami,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Mohamad Rusli Mat berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian kira-kira pukul 8.40 pagi kelmarin dan mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di badan dan kaki.
“Siasatan awal mendapati ketika kejadian, mangsa sedang menunggang motosikal dari arah Jalan Muar Lama untuk keluar simpang menuju ke jalan utama selepas selesai menghantar anaknya ke sekolah.
“Ketika itu, sebuah kereta jenis yang dipandu seorang guru perempuan berusia 34 tahun dari arah Sungai Rambai menuju ke Merlimau tidak sempat mengelak kerana jarak yang terlalu dekat,” katanya di sini kelmarin.
Menurut beliau, mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Jasin untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. -KOSMO! ONLINE