SIK – Pasangan suami isteri, Lokman Hakim Mohd Shukri, 23, dan Intan Suraya Zaidi, 24, sentiasa bersama sejak akhir-akhir ini sebelum kemalangan yang meragut nyawa mereka berdua di sini semalam.
Menurut Mohd. Shukri Saad, 56, bapa kepada Allahyarham Lokman Hakim, anaknya dilihat sering membawa isterinya yang dikahwini sembilan bulan lalu ke mana sahaja sekiranya mereka tidak bekerja.
“Ke mana sahaja mereka pergi berdua, berbuka puasa atau keluar beli barang selalunya berdua, pagi semalam pun mereka ke Kulim menemui rakan-rakan mereka selepas habis sesi bergambar untuk koleksi hari raya.
“Ini merupakan sambutan Aidilfitri pertama mereka sebagai suami isteri, semua persiapan raya telah mereka buat termasuk membelikan baju raya untuk ibu bapa, adik beradik, datuk dan nenek kedua-dua keluarga,” katanya selepas pengebumian jenazah pasangan suami isteri itu di Tanah Perkuburan Islam Kampung Charuk Pelanduk, di sini tengah hari tadi.
Katanya, perubahan pada Lokman Hakim agak ketara sejak kebelakangan ini kerana agak pendiam berbanding sebelum ini yang lebih suka melawak dan menyakat adik-adiknya.
“Anak dan menantu saya itu sering bersama sejak sekolah lagi. Rupa-rupanya mereka juga turut berjanji menemui Allah dalam keadaan bersama pada bulan yang mulia ini,” katanya.
Jenazah pasangan itu tiba di pekarangan surau Kampung Charuk Pelanduk kira-kira pukul 11.30 pagi untuk disembahyangkan sebelum dikebumikan dalam satu kubur. – KOSMO! ONLINE