PETALING JAYA – Seorang lelaki warga asing berusia 35 tahun ditahan selepas disyaki mengintip seorang wanita yang sedang mandi di rumahnya, di Gombak Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir, berkata lelaki itu ditahan pada pukul 3 petang pada hari sama.
“Kami terima satu laporan polis dibuat mangsa, seorang wanita tempatan berumur 19 tahun dan siasatan mendapati kejadian tersebut berlaku pada pukul 2.30 petang.
“Mangsa memaklumkan ketika sedang mandi di tandas rumahnya, dia ternampak sebuah telefon bimbit di atas dinding penghadang tandas dan mengesyaki bapa tiri yang merakam gambarnya,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, suspek ditahan reman selama empat hari bermula Isnin hingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah, Inspektor Nik Nor Aqeela Nik Abdullah di talian 019-9260203 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di talian 03-61262222,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE