PETALING JAYA – Tiada sebarang kesesakan trafik dilaporkan berlaku di tiga lebuh raya menghala keluar ke ibu kota, setakat ini.
Berdasarkan perkongsian rakaman televisyen litar tertutup yang dikongsikan di portal rasmi Jalan Now, aliran di Lebuh Raya Kuala Lumpur Karak (KLK) berhampiran Plaza Tol Gombak menghala ke Pantai Timur masih lagi lancar.
Selain di Plaza Tol Gombak, trafik juga lancar di Genting Sempah menuju ke Bentong.
Sementara itu, aliran trafik di Lebuh Raya Utara Selatan juga masih lagi lancar ke semua arah.
Terdahulu media melaporkan, pengendali Lebuh Raya KLK dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) AFA PRIME Berhad menjangkakan peningkatan kenderaan di kedua-dua lebuh raya berkenaan mulai 27 Mac hingga 6 April ini sempena Aidilfitri.
Plus Malaysia Berhad pula menjangkakan lonjakan trafik yang ketara dengan anggaran melebihi dua juta kenderaan pada tiga hari sebelum perayaan. – KOSMO! ONLINE